Monday, June 9, 2008

MONOLOG DI PINGGIR MEJA SIDANG

MONOLOG 1

Semalam,
telinga ini pernah mendengar
gamatnya suara di meja sidang
berbicara soal keadilan dan hak.

Hari ini,
mata ini terpaku lagi
menyaksikan mereka yang sama
di meja sidang
dengan bahan dan buih yang sama
demi keadilan dan hak.

Dan esok,
pastinya itu jua
yang akan diperdebat
di meja sidang
oleh sidang-sidang yang bijak bersidang.

Intelek dan prihatin kononnya
gah dengan ego
pembela keadilan..
pengaman dunia..
antarabangsa konon..

MONOLOG 2

Wahai ahli sidang
mata kami tidak buta
telinga kami tidak pekak
dan mulut kami belum berantai kunci

Kerana itu kami tahu
kerana itu kami nampak
dan kerana itu kami bersuara.

Mengertilah kalian
untuk apa dan kerana apa persidangan itu
kalau buih hanya hanyut
kalau batu hanya tenggelam.

MONOLOG 3

Wahai ahli sidang
apa guna bicara panjang
apa erti bermeja sidang
kalau semuanya sekadar tabir
menghijab kekosongan erti
menimbus kepalsuan diri
di balik liku-liku tuturmu
bersama bintik-bintik menimbun di hati

Sedarlah
usah dibiar yang sengsara terus melara
yang merajalela terus bertakhta
yang patut dibela terus dihenyak
umpama batu-batu dan tunggul
tiada berhati dan berperasaan.

Kalau itu yang mahu disidang
Kalau itu kebenaran mutlak
silakan
teruskanlah sidangmu
kerana kami hanya mampu memerhati
kerana kami tidak berveto.
Tapi ingatlah..
kalian juga akan menjadi bahan sidang
pada suatu hari nanti
bersama keadilan dan hak
yang HAKIKI
PASTI.............


Asiyah, USM 1993/94

No comments: