Wednesday, September 22, 2010

Terima kasih segalanya.

Terima kasih pada kenangan
mengajar aku erti hidup
mengajar aku erti pengorbanan
seorang guru.
Biarpun kasihnya satu, namun pada nusa dan bangsa
sentiasa subur
mekar selamanya.

Terima kasih pada pengalaman
mengajar aku sebuah pengorbanan
bahawa untuk berjaya
tidaklah semudah bait-bait ayat dicipta.

Jua,terima kasih teman-teman
kerana sudi singgah di laman ini
mengukir erti persahabatan
menghulur seribu budi
kepada diri ini yang kerdil.
Hanya itu yang mampu kulafaz
hanya itu yang mampu kubalas
kerana aku tidak punyai apa-apa
melainkan sebuah pengharapan.
Kerana Dia yang lebih tahu
Kerana Dia yang lebih mengerti
menilai
kejujuran dan keikhlasan hambaNya.

Sekali lagi kuucapkan terima kasih kepadamu teman,
agar persahabatan ini berkekalan ke akhirnya.

Akhir sekali,
terima kasih pada segalanya.


Asiyah Hasan
USM, 1995.

Saturday, May 23, 2009

KAWAN

Kita ada kawan
tapi kawan tak ada kita
alangkah sepinya hidup ini
di sekeliling kita dipenuhi kawan
tapi kawan tak mengelilingi kita

Hai kawan,
Pernahkah kau terasa begitu?
kalau begitu..
siapakah kawan kita?

Oh!
Sukarnya mencari kawan
yang sudi menemani kita setiap masa
di kala ria dan duka
itukah yang kita rasa?

Hai kawan
Salah jua terkaanmu
silap juga perkiraanku

Sebenarnya
Kita sentiasa dikelilingi kawan
tapi jumlahnya bukan seribu
bukan berjuta
Dia hanya satu
Yang setia menemanimu
mendengar segala rintih dan tawamu
menunggu kau menadah tangan memohon
apa juga pertolongan
dan sedia memenuhi permintaanmu
cuma bila masanya saja yang kau tak tahu
kerana kawanmu dan kawanku itu
bukanlah kawan biasa,
tapi Dia adalah kawan yang Agung,
Yang Maha Mulia dan Maha Mengasihanimu .
Dialah Allah.

Sunday, October 12, 2008

Perjuangan terakhir di meja ini?

Dengan penuh mesra
kutenangkan jiwa anak-anak di depan
yang penuh kegelisahan
sedang mereka itu hanya nampak
helaian kertas di meja
dengan minda yang bercelaru

Kelelahan jemari menari
memburu masa yang dirasa begitu iri
yang turut berlari pantas
di landasan waktu

Sejam berlalu dirasa begitu laju
sedang aku masih tenang
meronda dan mengawasi mereka
biar ada ketikanya
terasa mata begitu letih
bilakah masa akan berakhir
tak sabar mengutip helaian kertas di meja
untuk menghirup secangkir kopi
buat bekal pengawasan kertas seterusnya.
memang antara kita jauh berbeza matlamatnya
detik ini..

Anak-anak itu sudah lenguh tangannya
sudah letih jiwanya memerah otak
tapi tetap setia dan tekun
mencuba sedaya mungkin
kerana belum pasti
adakah itu perjuangan terakhir
harap-harapnya nanti
hasil yang bakal dituai melimpah menggunung
agar sempat jua
menjejak kaki ke puncak jaya.

Selamat menempuhi alam peperiksaan kepada semua anak didik. Semoga berjaya...

22 Nov 05

Terima kasih

Saban waktu
terpapar di dada media
derita sengsara merata.
Bencana dan petaka menimpa
harta benda musnah begitu saja
anak-anak kehilangan ibu bapa
saudara kehilangan keluarga
duka mereka di mana-mana.

Saudaraku..
bandingkanlah nasib mereka dan nasib kita
adakah kita tergolong dalam kumpulan itu?

Fikirkan dan renungilah
betapa Dia telah memeliharakan kita selama ini

Adakah nikmat yang kita terima itu percuma?
Tentu tidak
Kita harus membayarnya
kerana pemberian itu tidak ternilai harganya.

Bagaimana?
Bersyukurlah...
jadilah orang yang baik dan patuhilah
segala perintahnya
jauhilah kemurkaanNya
Itulah sebaik-baik terima kasih.

Monday, June 9, 2008

MONOLOG DI PINGGIR MEJA SIDANG

MONOLOG 1

Semalam,
telinga ini pernah mendengar
gamatnya suara di meja sidang
berbicara soal keadilan dan hak.

Hari ini,
mata ini terpaku lagi
menyaksikan mereka yang sama
di meja sidang
dengan bahan dan buih yang sama
demi keadilan dan hak.

Dan esok,
pastinya itu jua
yang akan diperdebat
di meja sidang
oleh sidang-sidang yang bijak bersidang.

Intelek dan prihatin kononnya
gah dengan ego
pembela keadilan..
pengaman dunia..
antarabangsa konon..

MONOLOG 2

Wahai ahli sidang
mata kami tidak buta
telinga kami tidak pekak
dan mulut kami belum berantai kunci

Kerana itu kami tahu
kerana itu kami nampak
dan kerana itu kami bersuara.

Mengertilah kalian
untuk apa dan kerana apa persidangan itu
kalau buih hanya hanyut
kalau batu hanya tenggelam.

MONOLOG 3

Wahai ahli sidang
apa guna bicara panjang
apa erti bermeja sidang
kalau semuanya sekadar tabir
menghijab kekosongan erti
menimbus kepalsuan diri
di balik liku-liku tuturmu
bersama bintik-bintik menimbun di hati

Sedarlah
usah dibiar yang sengsara terus melara
yang merajalela terus bertakhta
yang patut dibela terus dihenyak
umpama batu-batu dan tunggul
tiada berhati dan berperasaan.

Kalau itu yang mahu disidang
Kalau itu kebenaran mutlak
silakan
teruskanlah sidangmu
kerana kami hanya mampu memerhati
kerana kami tidak berveto.
Tapi ingatlah..
kalian juga akan menjadi bahan sidang
pada suatu hari nanti
bersama keadilan dan hak
yang HAKIKI
PASTI.............


Asiyah, USM 1993/94

Thursday, June 5, 2008

Pantun Sejarah 7

Tajuk: Penentangan Antanum di Sabah

Serata negeri rakyat memberontak
Menentang Inggeris kaum penjajah
Biarpun kalah atau ditembak
Namun semangat tetap takkan patah
Antanum di Sabah juga memberontak
Menentang Inggeris sehingga rebah.

Pantun Sejarah 6

Tajuk: Kegiatan persuratan dan karya sejarah pada zaman kerajaan Johor

Sungguh kaya karya Johor
Menjadi terkenal segenap zaman
Memang indah memanglah masyur
Usaha yang berjasa dilupa jangan.