Monday, June 9, 2008

MONOLOG DI PINGGIR MEJA SIDANG

MONOLOG 1

Semalam,
telinga ini pernah mendengar
gamatnya suara di meja sidang
berbicara soal keadilan dan hak.

Hari ini,
mata ini terpaku lagi
menyaksikan mereka yang sama
di meja sidang
dengan bahan dan buih yang sama
demi keadilan dan hak.

Dan esok,
pastinya itu jua
yang akan diperdebat
di meja sidang
oleh sidang-sidang yang bijak bersidang.

Intelek dan prihatin kononnya
gah dengan ego
pembela keadilan..
pengaman dunia..
antarabangsa konon..

MONOLOG 2

Wahai ahli sidang
mata kami tidak buta
telinga kami tidak pekak
dan mulut kami belum berantai kunci

Kerana itu kami tahu
kerana itu kami nampak
dan kerana itu kami bersuara.

Mengertilah kalian
untuk apa dan kerana apa persidangan itu
kalau buih hanya hanyut
kalau batu hanya tenggelam.

MONOLOG 3

Wahai ahli sidang
apa guna bicara panjang
apa erti bermeja sidang
kalau semuanya sekadar tabir
menghijab kekosongan erti
menimbus kepalsuan diri
di balik liku-liku tuturmu
bersama bintik-bintik menimbun di hati

Sedarlah
usah dibiar yang sengsara terus melara
yang merajalela terus bertakhta
yang patut dibela terus dihenyak
umpama batu-batu dan tunggul
tiada berhati dan berperasaan.

Kalau itu yang mahu disidang
Kalau itu kebenaran mutlak
silakan
teruskanlah sidangmu
kerana kami hanya mampu memerhati
kerana kami tidak berveto.
Tapi ingatlah..
kalian juga akan menjadi bahan sidang
pada suatu hari nanti
bersama keadilan dan hak
yang HAKIKI
PASTI.............


Asiyah, USM 1993/94

Thursday, June 5, 2008

Pantun Sejarah 7

Tajuk: Penentangan Antanum di Sabah

Serata negeri rakyat memberontak
Menentang Inggeris kaum penjajah
Biarpun kalah atau ditembak
Namun semangat tetap takkan patah
Antanum di Sabah juga memberontak
Menentang Inggeris sehingga rebah.

Pantun Sejarah 6

Tajuk: Kegiatan persuratan dan karya sejarah pada zaman kerajaan Johor

Sungguh kaya karya Johor
Menjadi terkenal segenap zaman
Memang indah memanglah masyur
Usaha yang berjasa dilupa jangan.

Pantun Sejarah 5

Tajuk: Kemerosotan kekuasaan kerajaan Johor

Semua rakyat cuba menentang
Pemerintahan zalim pasti diderhakai
Sultan Mahmud mangkat dijulang
Muncullah pula pengaruh Bendahara

Pantun Sejarah 4

Tajuk: Penentangan Tok Janggut di Kelantan

Rakyat Kelantan bersatu hati
Menentang Inggeris pengkhianat bangsa
Biarpun kemenangan belum pasti
Namun maruah dan agama tetap dibela.

Pantun Sejarah 3

Tajuk: Kebangkitan Dol Said di Naning

Dol Said penghulu Naning
Pemimpin berwibawa berjiwa rakyat
Semua rakyat dibela dibimbing
Menentang Inggeris dengan sepakat.

Pantun Sejarah 2

Tajuk: Sistem Residen

Rakyat, pembesar dan sultan bersatu hati
Menjaga hak, maruah dan kedaulatan
Apabila Residen melanggar adat dan tradisi
Bangkitlah semua sepakat menentang

Rakyat Perak berpakat menentang
Pemerintahan Inggeris memang dibenci
Itulah akibat terlalu campurtangan
Birch dibunuh tanpa simpati

Pantun sejarah 1

Tajuk: Kebangkitan Mat Salleh di Sabah

Serata negeri Inggeris ditentang
Kerana mengganggu adat dan tradisi
Mat Salleh di Sabah juga menentang
Hingga berakhir dengan mati
Mengaku kalah adalah pantang
Kerana maruah tak boleh dijual beli