Friday, May 23, 2008

ATAS KEIKHLASANNYA MEMBERI KAMI SUSU

Terima kasih Tuhan
mengurniakan kami seorang ibu
yang menyusukan kami
seikhlas jiwanya
atas keikhlasannya memberi kami susu
kami hidup dengan sempurna
merasai nikmat kasih sayang seorang ibu

Terima kasih ibu
menyusukan kami
setulus nalurimu
tak pernah lokek
dengan penuh kasih
kau mengenyangkan dan menyenangkan kami
setitik susu ibu yang mengalir
tak terbalas oleh kami
sehayat jasad kami hargai.

Kini, tugas ibu beralih kepadaku
tambah kusedar betapa hebatnya kasihmu ibu
atas keikhlasan ibu memberi kami susu
kami kini menjadi manusia sempurna
dan kami akan teruskan tugas ibu ini
untuk generasi kami seterusnya
kerana dalam kehangatan susu ibu
ada nilai kasih dan kedamaian
yang tak putus mengalir
yang akan membentuk insan harmoni
agar di situ
akan berputiklah hidup yang sempurna
bahagia.

Terima kasih sekali lagi Tuhan
memberi kami ibu
yang sukar lagi kucari gantinya
biar dalam kepayahannya
mengais sesuap rezeki
di bendang yang gersang
walau dalam jerihnya melawan lelah
sempat juga pulang
memberi kami susu.

Oh Tuhan!
Terima kasih sekali lagi.

Oh Ibu !
Terima kasih dan halalkan susumu untuk kami.

Catatan: Dedikasi untuk ibu yang telah pergi kerana penyakit lelah dan jantung.

No comments: