Showing posts with label Monolog. Show all posts
Showing posts with label Monolog. Show all posts

Monday, June 9, 2008

MONOLOG DI PINGGIR MEJA SIDANG

MONOLOG 1

Semalam,
telinga ini pernah mendengar
gamatnya suara di meja sidang
berbicara soal keadilan dan hak.

Hari ini,
mata ini terpaku lagi
menyaksikan mereka yang sama
di meja sidang
dengan bahan dan buih yang sama
demi keadilan dan hak.

Dan esok,
pastinya itu jua
yang akan diperdebat
di meja sidang
oleh sidang-sidang yang bijak bersidang.

Intelek dan prihatin kononnya
gah dengan ego
pembela keadilan..
pengaman dunia..
antarabangsa konon..

MONOLOG 2

Wahai ahli sidang
mata kami tidak buta
telinga kami tidak pekak
dan mulut kami belum berantai kunci

Kerana itu kami tahu
kerana itu kami nampak
dan kerana itu kami bersuara.

Mengertilah kalian
untuk apa dan kerana apa persidangan itu
kalau buih hanya hanyut
kalau batu hanya tenggelam.

MONOLOG 3

Wahai ahli sidang
apa guna bicara panjang
apa erti bermeja sidang
kalau semuanya sekadar tabir
menghijab kekosongan erti
menimbus kepalsuan diri
di balik liku-liku tuturmu
bersama bintik-bintik menimbun di hati

Sedarlah
usah dibiar yang sengsara terus melara
yang merajalela terus bertakhta
yang patut dibela terus dihenyak
umpama batu-batu dan tunggul
tiada berhati dan berperasaan.

Kalau itu yang mahu disidang
Kalau itu kebenaran mutlak
silakan
teruskanlah sidangmu
kerana kami hanya mampu memerhati
kerana kami tidak berveto.
Tapi ingatlah..
kalian juga akan menjadi bahan sidang
pada suatu hari nanti
bersama keadilan dan hak
yang HAKIKI
PASTI.............


Asiyah, USM 1993/94

Friday, May 23, 2008

MONOLOG ANAK MERDEKA

Biru warna langit
menutup awan hitam
nur kebebasan sudah menjelma
menggamit rindu anak merdeka
membawa seribu harapan
mencurah sejuta makna
pada kedamaian ini

Terbalas sudah………
keringat dan darah
budi dan jasa ditabur nusa
ku bersyukur pada Ilahi
atas nikmatnya….

Namun,
nun di sana….
di saat kukecapi kedamaian ini
bahang keperitan terasa jua
pedih dan peritnya
warga mangsa peperangan,
penindasan dan kezaliman……penuh sengsara
bersama uji derita

Di mana perikemanusiaan
di mana kasih dan sayangnya mereka
telah berkuburkah segalanya
bersama deru-deru dan debur ombak
telah hanyutkah ia bersama pepasir itu
atau…
telah karamkah segalanya
bersama luasnya samudera.

Oh !
Terima kasih sekali lagi Tuhan
atas nikmat mu…

Tanpa kemerdekaan ini
apalah ertinya seorang aku
di bumi gersang.