Sunday, October 12, 2008

Perjuangan terakhir di meja ini?

Dengan penuh mesra
kutenangkan jiwa anak-anak di depan
yang penuh kegelisahan
sedang mereka itu hanya nampak
helaian kertas di meja
dengan minda yang bercelaru

Kelelahan jemari menari
memburu masa yang dirasa begitu iri
yang turut berlari pantas
di landasan waktu

Sejam berlalu dirasa begitu laju
sedang aku masih tenang
meronda dan mengawasi mereka
biar ada ketikanya
terasa mata begitu letih
bilakah masa akan berakhir
tak sabar mengutip helaian kertas di meja
untuk menghirup secangkir kopi
buat bekal pengawasan kertas seterusnya.
memang antara kita jauh berbeza matlamatnya
detik ini..

Anak-anak itu sudah lenguh tangannya
sudah letih jiwanya memerah otak
tapi tetap setia dan tekun
mencuba sedaya mungkin
kerana belum pasti
adakah itu perjuangan terakhir
harap-harapnya nanti
hasil yang bakal dituai melimpah menggunung
agar sempat jua
menjejak kaki ke puncak jaya.

Selamat menempuhi alam peperiksaan kepada semua anak didik. Semoga berjaya...

22 Nov 05

Terima kasih

Saban waktu
terpapar di dada media
derita sengsara merata.
Bencana dan petaka menimpa
harta benda musnah begitu saja
anak-anak kehilangan ibu bapa
saudara kehilangan keluarga
duka mereka di mana-mana.

Saudaraku..
bandingkanlah nasib mereka dan nasib kita
adakah kita tergolong dalam kumpulan itu?

Fikirkan dan renungilah
betapa Dia telah memeliharakan kita selama ini

Adakah nikmat yang kita terima itu percuma?
Tentu tidak
Kita harus membayarnya
kerana pemberian itu tidak ternilai harganya.

Bagaimana?
Bersyukurlah...
jadilah orang yang baik dan patuhilah
segala perintahnya
jauhilah kemurkaanNya
Itulah sebaik-baik terima kasih.